Monday, 8 June 2015

Hadiah hari lahir untuk Suamiku

Teks: Nurzafirah Mat Zin
Foto: Nurzafirah Mat Zin

Lokasi kejadian ialah di rumah sewa saya di Selangor. Suami datang ke sini kerana sedang bercuti sekolah.

Kelmarin tanggal 8 Jun, genaplah usia suami saya 30 tahun. Akibat keletihan dan mengantuk yang sangat, saya tidak sempat mengucapkan selamat hari lahir kepada suami tepat pukul 12 tengah malam (seperti kebiasaan kami akan buat walaupun berjauhan). Saya sudah setkan bahawa tarikh lahir suami dah hampir sampai dari awal bulan Jun lagi, tapi tidak tahu kenapa malam itu ucapannya tak terucap. Nasib baik suami saya tidak sentap. Kalaulah saya yang berada di tempat dia pasti saya akan sentap sesentapnya. Almaklumlah emosi wanita kan selalunya tidak berapa stabil. Hehe. 

Seperti biasa, saya bangun awal pagi untuk solat Subuh dan bersiap-siap ke tempat kerja. Masih lagi tidak memberikan ucapan hari lahir kepada suami, saya sibuk menguruskan itu ini. Ego masih menebal untuk tidak mahu mengaku bahawa saya terlupa untuk ucapkan hari lahirnya (hal yang tidak pernah suami saya lakukan setiap kali hari lahir saya). Namun, bila hampir nak keluar rumah dan ketika bersalam dengannya, ego saya terus berderai. 

"Selamat hari lahir, Sayang,"  sambil saya kucup tangannya. 
Hati suami pun terus cair. (Saya yakin)

Sesampainya di pejabat, saya terus bertanyakan kepada rakan Facebook saya tentang hadiah apa yang sesuai diberikan kepada suami saya sempena hari lahirnya. 

Macam-macam jawapan diberikan rakan Facebook saya. Antaranya:
  • Jam tangan - supaya dia ingat setiap detik dia bersama kita
  • Mug corak khat nama. Anda boleh tempah pada Nor Aini
  • Hantar bunga ke pejabat. Buat kejutan.Tempah dan minta orang hantarkan. Jangan lupa hantar kad luahan hati. Pasti hatinya berbunga-bunga. 
  • Wallet. Macam cantik rekabentuk Bellroy ini. 
Wah, terharu saya apabila kaji selidik yang saya jalankan di Facebook mendapat sambutan dari rakan-rakan. Terima kasih atas cadangan yang diberikan dan saya sangat menghargainya.

Buat pengetahuan semua, sejak kami berkahwin, kami tidak pernah menyambut hari lahir masing-masing bersama-sama (boleh bayangkan tak apa yang cuba saya sampaikan?) Selalunya ketika kejadian berlaku, salah seorang akan berada di kutub utara dan seorang lagi akan berada di kutub selatan (perumpamaan yang boleh saya berikan).

Kronologinya seperti berikut:

Ketika ini suami saya (dahulu tunang) masih belajar di Mesir dan saya di Malaysia. Kawan suami yang kebetulan balik ke Malaysia yang tolong poskan hadiah ini pada saya. 

Ketika ini suami saya sedang menjalani latihan perguruan di Sarawak dan hadiah dibawah dipos suami ke Brunei kerana saya berada di Brunei ketika itu.


2013: 
Suami masih mengajar di Sarawak manakala saya sedang menjaga anak sulung saya yang ketika itu baru lahir (saya tidak bekerja selepas menamatkan ijazah sarjana saya). Suami pulang ke semenanjung sebulan sekali ketika itu. 

2014: 
Mendapat perkhabaran gembira suami saya dapat bertukar dari Muar ke Pulau Pinang.

2015:
8 Jun 2015:
Saya: Sayang nak apa hadiah hari lahir tahun ni?
Suami: Saya tak mahu apa-apa selain Sayang. Tahun ni kita dapat bersama pada hari lahir saya pun bagi saya dah rasa cukup. 

Ok jimat duit saya. Tidak. Saya bawa juga suami ke kedai mamak, belanja makan roti canai telur kuah kambing (atas permintaan suami sebagai hadiah hari jadinya) 

Kadang-kadang saya fikir balik, kehidupan kami suami isteri tak ubah macam drama. Macam-macam saya terima soalan dari orang-orang sekeliling:

Macamana jumpa suami?
Siapa perkenalkan?
Sekarang duduk dengan siapa?
Berapa kali jumpa dalam sebulan?
Tak usaha pindah tempat kerja ke?

Macam-macam lagilah. Ada jawapan yang kami boleh berikan secara tepat. Namun yang lain, hanya Allah yang punya jawapan tepat. Pasangan mana yang tidak mahu hidup bersama dan hanya mereka yang menjalani kehidupan perkahwinan jarak jauh sahaja yang tahu erti sebenar kehidupan ini. Rasa macam nak bukukan sahaja perjalanan hidup kami suami isteri bagi semua orang baca. Terlalu banyak untuk diceritakan. Ada pahit ada manis. Buat ebook pun bagus juga kan? 

Bagi saya dan suami yang menjalani kehidupan perkahwinan jarak jauh, faktor kos yang berganda kekadang menyekat kami berbelanja lebih dalam membeli sesuatu. Kami perlu berjimat dalam setiap perbelanjaan. Tapi kalau ada rezeki lebih, bolehlah kami berbelanja lebih. Selain itu, kekangan masa juga kadang-kadang menjadi batu penghalang. Kalau adapun masa terluang, hanya bertemu sehari atau dua. Bagi kami, hadiah hari lahir yang paling BERBAHAGIA untuk kami ialah kesempatan untuk bersama (secara fizikal bersama anak-anak hidup dalam sebuah keluarga) dan sehingga kini kami masih menantikannya. Mohon rakan-rakan pembaca yang lain doakan kami agar dapat tinggal bersama.

Tip menjalani perkahwinan jarak jauh:
  1. Belajar untuk berkomunikasi dengan betul. Elakkan perselisihan faham.
  2. Belajar menerima kehidupan dan pasangan hidup seadanya. Bersyukur apa adanya.
  3. Belajar untuk bertolak ansur. Mengalahlah untuk menang.
  4. Belajar memaafkan. Tidak sekelumit rugi pun kalau kita yang mulakan kata maaf. 
  5. Belajar untuk hidup gembira dengan mengisi masa terluang dengan perkara-perkara yang kita suka. Beradalah dalam lingkungan kawan-kawan yang positif.

Yang paling utama:

Yakin dengan peraturan dan perancangan Allah. 
Sebaik-baik perancangan adalah perancangan dariNya.

Ada banyak lagi tip lagi yang saya akan kongsikan nanti. Tunggu di entri-entri lain pula ya. 

1 comment:

  1. Semoga ikatan perkahwinan anda kekal hingga ke jannah. 😊

    ReplyDelete

Copyright to NUR ZAFIRAH
Designed by UMIESUEstudio 2015