Wednesday, 3 June 2015

Royal FLORIA Putrajaya 2015

Entri 3

Teks: Nurzafirah Mat Zin
Foto: Nurzafirah Mat Zin

Royal FLORIA Putrajaya pada tahun ini sedang berlangsung dari 30 Mei sehingga 7 Jun 2015 bertempat di Presint 4, Putrajaya. Alhamdulillah pada hari Selasa yang lepas, saya berkesempatan mengunjungi festival ini atas urusan kerja (saya bertugas menjaga pameran buku). Seawal pukul 9.00 pagi lagi ramai pengunjung sudah beratur di kaunter tiket untuk masuk ke pameran ini. Pengunjung pameran ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk juga pengunjung luar negara. Sangat meriah dengan pelbagai kecantikan pameran bunga, lanskap dalam taman, pertandingan serta jualan ternyata memberi impak positif bahawa Malaysia sangat berpotensi menjadi pusat pelancongan menarik.  






Terdapat penyertaan daripada pelbagai agensi tempatan seperti universiti dan jabatan-jabatan awam mahupun swasta yang terlibat dalam penghasilan pelbagai jenis landskap menarik untuk tatapan pengunjung. Sedikit sebanyak ia mampu memberi seribu satu idea kepada pengunjung untuk cuba menghasilkan landskap sendiri di laman rumah masing-masing. Selain menjadi pusat sehenti untuk para peminat bunga serta pokok-pokok, Royal FLORIA Putrajaya 2015 juga menjadi medan latihan kepada para jurugambar amatur mahupun professional untuk mengasah bakat masing-masing dalam bidang fotografi. Sudah pastinya gambar yang dihasilkan cantik kerana subjek yang diberi tumpuan ialah flora yang sangat berwarna warni. 




Tidak ketinggalan juga lawatan dari pelbagai kumpulan masyarakat antaranya rombongan pelancong luar, pelajar-pelajar sekolah dan juga agensi-agensi awam serta swasta mengunjungi Royal FLORIA Putrajaya pada tahun ini.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Laman Sesawang Royal FLORIA Putrajaya 2015.

No comments:

Post a Comment

Copyright to NUR ZAFIRAH
Designed by UMIESUEstudio 2015